4/8/09

Kafa gantung Halim Nafi

KOTA BHARU 8 April – Penjaga gol Kelantan, Halim Napi digantung permainan ekoran kejadian rusuhan penyokong pasukan itu sebaik tamat perlawanan Piala FA separuh akhir pertama antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohamed ke-IV di sini malam tadi.

Halim digantung oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) serta-merta tanpa ditetapkan tempoh penggantungannya.

Dalam perlawanan itu Kelantan tewas 0-1.

Halim dilihat sebagai punca meletusnya rusuhan setelah dia menyerang pemain pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd Radzak sebaik tamat perlawanan.

“Kami (Kafa) dan jurulatih Peter Butler bersetuju dengan keputusan ini kerana Halim dilihat secara sengaja menggunakan kekerasan terhadap pemain pelawat.

“Kami sependapat bahawa soal disiplin dan etika bagi pemain Kafa perlu dijaga walaupun kita memerlukan penjaga gol yang baik,” kata Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa selepas tamat perlawanan.

Beliau berkata, penggantungan Halim dibuat ekoran satu mesyuarat yang diadakan antara Kafa dengan Butler sebaik sahaja tercetus insiden berkenaan.

Beliau yang kesal dengan rusuhan para penyokong Kelantan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat insiden terbabit.

“Saya tahu ia berpunca daripada sikap pemain Kafa yang secara sengaja mengambil tindakan mengasari pemain pelawat.

“Ia benar-benar bertentangan dengan semangat kesukanan. Sifat ini tidak seharusnya ada di dalam setiap pemain Kafa,” katanya.

Tindakan liar sebahagian besar dari kira-kira 20,000 penyokong Kelantan menyebabkan lapan buah kereta rosak teruk termasuk sebuah kenderaan polis sementara sebuah motosikal turut dibakar.

Seorang anggota Unit Simpanan Persekutuan turut cedera.

Menurut polis, tiga penyokong Kelantan telah

ditahan.

Tindakan liar penyokong Kelantan turut berlaku semasa perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Negeri Sembilan pada akhir bulan lepas di mana para penyokong membaling botol minuman dan mercun ke tengah padang selepas Kelantan tewas 1-2. – Bernama

No comments: