4/8/09

Untukmu Penyokong Kedah



Kafa gantung Halim Nafi

KOTA BHARU 8 April – Penjaga gol Kelantan, Halim Napi digantung permainan ekoran kejadian rusuhan penyokong pasukan itu sebaik tamat perlawanan Piala FA separuh akhir pertama antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohamed ke-IV di sini malam tadi.

Halim digantung oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) serta-merta tanpa ditetapkan tempoh penggantungannya.

Dalam perlawanan itu Kelantan tewas 0-1.

Halim dilihat sebagai punca meletusnya rusuhan setelah dia menyerang pemain pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd Radzak sebaik tamat perlawanan.

“Kami (Kafa) dan jurulatih Peter Butler bersetuju dengan keputusan ini kerana Halim dilihat secara sengaja menggunakan kekerasan terhadap pemain pelawat.

“Kami sependapat bahawa soal disiplin dan etika bagi pemain Kafa perlu dijaga walaupun kita memerlukan penjaga gol yang baik,” kata Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa selepas tamat perlawanan.

Beliau berkata, penggantungan Halim dibuat ekoran satu mesyuarat yang diadakan antara Kafa dengan Butler sebaik sahaja tercetus insiden berkenaan.

Beliau yang kesal dengan rusuhan para penyokong Kelantan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat insiden terbabit.

“Saya tahu ia berpunca daripada sikap pemain Kafa yang secara sengaja mengambil tindakan mengasari pemain pelawat.

“Ia benar-benar bertentangan dengan semangat kesukanan. Sifat ini tidak seharusnya ada di dalam setiap pemain Kafa,” katanya.

Tindakan liar sebahagian besar dari kira-kira 20,000 penyokong Kelantan menyebabkan lapan buah kereta rosak teruk termasuk sebuah kenderaan polis sementara sebuah motosikal turut dibakar.

Seorang anggota Unit Simpanan Persekutuan turut cedera.

Menurut polis, tiga penyokong Kelantan telah

ditahan.

Tindakan liar penyokong Kelantan turut berlaku semasa perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Negeri Sembilan pada akhir bulan lepas di mana para penyokong membaling botol minuman dan mercun ke tengah padang selepas Kelantan tewas 1-2. – Bernama

Penonton merusuh di Kota Bharu





Perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Kelantan, NS tercemar

NEGERI Sembilan mencerahkan peluang mara ke final Piala FA selepas menewaskan Kelantan 1-0 di Stadium Sultan Mohamed ke-IV, malam tadi dalam perlawanan yang tercemar dengan insiden serangan pada akhir perlawanan dan keganasan penonton di luar stadium.

Penjaga gol tuan rumah, Halim Napi dilihat meluru ke arah Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak lalu menumbuk dan memijak pertahanan Negeri Sembilan itu sebelum dileraikan oleh rakan sepasukannya dalam saingan separuh akhir pertama.

Keadaan turut bertambah buruk di luar stadium apabila sebuah kenderaan polis diterbalikkan sebelum dibakar selain cermin beberapa kereta dipecahkan oleh sekumpulan penonton yang kurang berpuas hati.

Ini kekalahan kedua berturut-turut tuan rumah kepada pelawat selepas tunduk 2-1 saingan Liga Super 31 Mac lalu - sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan sukar menjelang pertemuan kedua pada 18 April ini.

Dalam satu lagi pertemuan separuh akhir, Perlis sekadar seri 1-1 dengan skuad Merah Kuning di Stadium Utama, Kangar dalam pertemuan yang turut dicemari dengan pergaduhan antara penjaring gol kedua-dua pasukan, R Surendran dan Shazwan Zainol sejurus sebelum rehat tetapi berjaya dihalang rakan sepasukan yang lain.

Di Kota Bharu, Kelantan dikejutkan seawal minit ketujuh menerusi Zaquan Adha Abdul Radzak berpunca daripada kesilapan Azlan Zainal yang gagal menguasai bola dalam kawasan sendiri.

Ketinggalan satu gol, Kelantan cuba bangkit menyamakan kedudukan dan peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-13 tetapi sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin dari luar kotak penalti sedikit melepasi palang gol lawan.

Walaupun berbekal sokongan padu kira-kira 20,000 penonton, Kelantan seolah-olah kehilangan punca ketika pasukan Negeri Sembilan lebih banyak menguasai perlawanan.

Usaha Kelantan mencari jaringan penyamaan pada babak kedua tidak kesampaian, apabila percubaan Indra dan kapten pasukan, Badhri Radzi pada minit ke-46 dan 74 sekadar menggegar palang gol lawan.

Di Stadium Utama, Perlis hanya memerlukan dua minit untuk membuka jaringan menerusi rembatan Shazwan dari dalam kotak penalti sebelum Selangor menyamakan kedudukan menerusi Surendran pada minit ke-34.

Tuan rumah beroleh kelebihan pada minit ke-57 apabila ketua pasukan pelawat, Amri Yahyah dilayangkan kad merah selepas mengasari penjaga gol Perlis, Farizal Marlias.

Namun, skuad Singa Utara bukan sahaja gagal mengambil kesempatan malah turut kehilangan penyerang utama, Nizaruddin Yusof yang dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua pada waktu kecederaan.